Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu Hospital USM

Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu Hospital USM merupakan sekumpulan individu yang memainkan peranan secara aktif dalam mempromosi, menyokong dan melindungi penyusuan susu ibu. Kumpulan ini juga merupakan satu tempat rujukan bagi ibu-ibu yang mengatasi masalah dalam penyusuan atau untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling.
Siapakah ahli Kumpulan ini?
Ahli Kumpulan Sokongan PSI akan sentiasa bersedia untuk dihubungi pada bila-bila masa bagi membantu ibu-ibu dan pasangannya mengatasi masalah-masalah penyusuan. Sepanjang fasa menyusui bayi iaitu secara eksklusif selama enam bulan sehingga umurnya dua tahun, ibu-ibu boleh menghubungi kumpulan sokongan ini.
Ahli Kumpulan Sokongan PSI Hospital USM terdiri daripada:
- Konsultan Penyusuan (laktasi)
- Pakar Kanak-Kanak dan Neonatologi
- Pegawai-pegawai Pemakanan
- Kaunselor-kaunselor penyusuan
- Ketua Jururawat & Jururawat Laktasi
- Ibu-ibu yang berjaya dalam penyusuan secara eksklusif termasuk ibu kembar
Mereka boleh dihubungi pada bila-bila masa terutamanya pada waktu siang.
Sekiranya anda mengalami masalah penyusuan, apa yang perlu dilakukan?
Masalah penyusuan mungkin akan dialami pada bila-bila masa. Anda juga mungkin tidak yakin untuk menyusui bayi kerana gagal menyusui anak yang terdahulu. Ini mungkin juga merupakan kelahiran bayi pertama anda dan anda berasa tidak yakin dengan keupayaan diri. Masalah penyusuan yang biasa berlaku adalah seperti kurang susu, bengkak payudara, puting tenggelam serta pelbagai masalah lain yang boleh menganggu proses menyusu daripada berlaku secara semulajadi. Jangan bimbang, anda hanya perlukan bantuan dan sokongan.
Dapatkan bantuan sama ada daripada:
- Suami
- Ahli keluarga yang terdekat
- Ahli Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu melalui kaunseling dalam telefon atau membuat temujanji untuk berjumpa dengan mereka
- Klinik Laktasi di hospital atau pusat kesihatan berdekatan. Klinik Laktasi Hospital USM dikendalikan oleh kakitangan Unit Laktasi (Tel: 09-7673623). Klinik ini menyediakan khidmat nasihat dan kaunseling penyusuan serta rawatan bagi masalah-masalah dalam penyusuan
- Jururawat yang melakukan lawatan ke rumah ibu selepas bersalin.
Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Bertukar kepada penyusuan susu formula bukanlah pilihan terbaik untuk anak anda. Tempuhilah kesukaran semasa penyusuan yang berlaku dengan sabar. Bak kata pepatah Melayu "Berakit-rakit ke hulu, berenang renang ketepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Penyusuan susu ibu memberi manfaat kepada kesihatan ibu dan bayi anda. Malah, ianya akan menjimatkan perbelanjaan sekeluarga.
Menyusui bayi mungkin ada cabaran yang perlu dilalui oleh segelintir ibu, namun berkat kesabaran, anak-anak akan membesar dengan sihat dan sempurna. Ibu bapa yang berkerjaya juga mampu bekerja dengan lebih tenang memandangkan kesihatan bayi terjamin melalui penyusuan susu ibu.
Jom Menyusu dengan Susu Ibu!
Siapakah yang anda boleh hubungi jika mempunyai sebarang masalah penyusuan susu ibu?
